Tuesday, November 8, 2011

Wahai Orang Berdosa, Jangan putus asa dengan Allah…

السلام علبكم و رحمة الله و بركاته
Dipagi Jumaat yang penuh keberkataan ini,penghulu segala hari yang terdapat didalam hari ini saat yang mustajab doa, kita renungkan tawaran Allah ini. Apabila dikatakan ‘wahai orang berdosa’, bukan ditujukan kepada sesiapa melainkan kepada diri kita sendiri.   Kitalah orang berdosa itu.  Saban hari dan minggu, ada sahaja dosa yang dilakukan samada sengaja ataupun tidak sengaja.  Apatah lagi dosa-dosa lalu yang entah bagaimana, samada masih tertulis di dalam buku amalan ataupun sudah dimaafkan oleh Allah  Yang Maha Pemaaf dan Yang Suka Memberikan Kemaafan. Betapa lemah dan lalainya kita.  Kepadanya lah diharapkan hidayah dan taufiq.  Moga-moga dosa-dosa lalu, dosa-dosa hari ini dan dosa-dosa akan datang bisa diampuni olehnya.  Kerana DIA Maha Pengampun, Maha Penyayang.

Dalam perjalanan kehidupan, kita kadang-kadang terlalai dan terpesona akan keindahan yang terlihat oleh mata kita.  Lalu sehingga melencong masuk ke jalan atau lorong yang salah.  Kita mungkin cepat atau lambat sedar bahawa jalan yang dimasuki itu jalan yang salah.  Namun, apabila tersedar bahawa jalan itu salah, janganlah pula pasrah lalu putus asa bahawa tiada harapan lagi untuk pulang ke jalan yang asal, iaitu jalan menuju keredhaan Allah.

Kita masih ada harapan untuk buat U-turn atau buat pusingan-U dan masuk kembali ke jalan sebenar.  Walau jauh mana pun telah kita tersesat, walau jauh mana pun kita telah terlencong, peluang untuk kembali ke jalan yang sebenar sentiasa terbuka dan malah amat dialu-alukan oleh Allah, Rabbul-Jalil.

Betulkah? Cuba lihat firman Allah  Yang Maha Mulia dan sabda Rasulullah  bagi mencetus semangat dalam hati kita bahawa peluang untuk orang-orang yang berdosa sentiasa ada untuk kembali kepadaNYA.

1)  ALLAH suruh kita bertaubat dalam firmanNYA:

    وَتُوبُوٓاْ إِلَى ٱللَّهِ جَمِيعًا أَيُّهَ ٱلْمُؤْمِنُونَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
Yang bermaksud:  “Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.”  (Surah An-Nur, 24:31)

2)  Peluang sentiasa ada dan jangan putus asa.  ALLAH Ta`ala berfirman:

    قُلْ يَـٰعِبَادِىَ ٱلَّذِينَ أَسْرَفُواْ عَلَىٰٓ أَنفُسِهِمْ لَا تَقْنَطُواْ مِن رَّحْمَةِ ٱللَّهِ‌ۚ إِنَّ ٱللَّهَ يَغْفِرُ ٱلذُّنُوبَ جَمِيعًا‌ۚ إِنَّهُ ۥ هُوَ ٱلْغَفُورُ ٱلرَّحِيمُ
Katakanlah: “Hai hamba-hamba-Ku yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”  (Surah az-Zumar 39:53)

3)  ALLAH sangat gembira apabila ada hambaNYA yang bertaubat dan mahu kembali kepadaNYA.  Dari Abu Hamzah Anas bin Malik radhiAllahu `anhu berkata bahawa Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam bersabda yang maksudnya: “Sungguh ALLAH itu lebih gembira untuk menerima taubat hambaNYA melebihi dari kegembiraan seseorang di antara kamu sekalian yang menjumpai kembali untanya yang hilang di tengah-tengah padang gurun.”(HR al-Bukhari dan Muslim)

Di dalam riwayat Muslim, dikatakan maksudnya:
“Sungguh Allah lebih gembira untuk menerima taubat hambaNYA ketika hambaNYA itu bertaubat kepadaNYA melebihi dari kegembiraan seseorang di antara kamu sekalian yang berkenderaan di tengah-tengah padang pasir kemudian haiwan yang dikenderaaninya itu lari meninggalkannya padahal di atas haiwan itu terdapat makanan dan minuman orang itu, kemudian dia berputus asa untuk dapat menjumpainya kembali.  Dia lantas berteduh di bawah pohon dengan membaringkan badannya sedangkan dia telah benar-benar putus asa untuk dapat menemui kembali haiwan yang dikenderaaninya itu.  Kemudian ketika dia bangkit tiba-tiba dia menemui semula haiwan yang dikenderaaninya itu lengkap dengan bekal yang dibawanya.  Kemudian dia segera memegang tali kekangnya lalu berkata dengan sangat gembira, “Wahai Allah, ENGKAU adalah hambaku dan aku adalah TuhanMU.”  Dia  tersilap  mengucapkan kalimah itu akibat terlalu gembira yang sangat-sangat.” (HR Muslim)

Lihat, betapa gembiranya Allah  apabila kita mahu kembali kepadaNYA.  Hadith di atas adalah perumpamaan yang dibawa oleh Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam dan ia bisa menjadi motivasi buat kita apabila ada orang berbisik atau menyakat kita seperti “engkau ni tiada harapan dah nak bertaubat” atau seumpamanya.  Ketahuilah, Allah suka bahkan sangat gembira.  Justeru, pulanglah kepada Allah.

Taubat sentiasa terbuka luas selagi belum terjadi 2 perkara, iaitu: 1) Kematian dan 2) Matahari terbit dari arah barat (tanda besar Hari Qiamat)

4)  Allah sentiasa membuka peluang yang sangat luas  untuk hambaNYA bertaubat selagi matahari belum terbit dari sebelah barat, iaitu tanda besar hampir berlakunya Hari Kiamat dan sebelum kita meninggal dunia.  Dari Abu Musa `Abdullah bin Qais Al-Asy`ari radhiAllahu `anhu, dari Nabi sallAllahu `alaihi wasallam bersabda yang maksudnya:

“Sesungguhnya Allah senantiasa membentangkan tanganNYA pada waktu malam untuk menerima taubat orang yang berbuat jahat pada waktu siangnya, dan membentangkan tanganNYA pada waktu siang untuk menerima taubat orang yang berbuat jahat pada waktu malamnya.  Yang demikian itu berlangsung terus sampai matahari terbit dari sebelah barat (sampai hari mahu Kiamat).”  (HR Muslim)

Dari Abu `Abdurrahman `Abdullah bin `Umar bin Khattab radhiAllahu `anhuma, dari Nabi sallAllahu `alaihi wasallam bersabda yang maksudnya:  “Sesungguhnya ALLAH Yang Maha Mulia lagi Maha Agung akan menerima taubat seseorang sebelum nyawanya sampai di kerongkong (sebelum sakaratul maut).”   (HR at-Turmudzi dan katanya hadith ini hasan)

5)  Allah sentiasa mahu memberikan keampunan kepada kita walau sebesar mana pun dosa kita, asal sahaja kita mahu kembali bertaubat kepadaNYA.  Daripada Anas bin Malik radhiAllahu `anhu, beliau berkata bahawa Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam bersabda: “Allah  berfirman: 
 “Wahai anak adam, sesungguhnya jika engkau berdoa dan berharap kepada-KU, niscaya AKU akan mengampunimu dan AKU tidak akan memperdulikannya lagi.

"Wahai anak Adam, seandainya dosa-dosamu memenuhi seluruh langit, kemudian engkau memohon ampun padaku, niscaya AKU akan mengampunimu".

"Wahai anak Adam, seandainya engkau datang kepadaku dengan kesalahan sepenuh bumi, kemudian engkau menjumpai-KU dalam keadaan tidak berbuat syirik dengan apapun niscaya AKU akan datang kepadamu dengan pengampunan sepenuh bumi pula.”  (HR Tirmidzi, beliau berkata hadith ini hasan)

Walau jauh mana pun dikau tersasar dan terlencong, kembalilah. Kembalilah ke jalan menuju Allah. Allah sayang kita.

Bukankah kalam-kalam mulia lagi benar di atas akan menyegarkan hati kita? Bukankah dengan membacanya terbit cahaya memancar menyinarkan harapan?  Ayuh, jangan tunggu lagi.  Kita tidak tahu saat bila umur kita akan berhenti.  Dan kita juga tidak tahu bilakah matahari akan terbit dari arah barat yang menandakan dunia ini akan mati. Disebabkan kita tidak tahu, jadi penangguhan terhadap taubat adalah suatu yang sangat merbahaya.  Ia bisa menerjah tiba-tiba pada saat kita tidak bersedia dan tidak sempat bertaubat.

Janganlah termakan kata-kata hinaan rakan atau keluarga yang mengatakan kita tiada peluang untuk bertaubat.  Jangan terhasut bisikan-bisikan halus dalam hati yang mengatakan Allah tidak akan menerima taubat.  Dan janganlah pula terikut dengan ajakan nafsu agar taubat itu ditangguhkan ke suatu masa yang akan datang.

Semoga ayat-ayat di atas menyerap ke dalam dada kita untuk ia dijadikan tanda aras kita supaya apabila kita terlencong atau tersasar dari jalan kebenaran, yakni jalan menuju keredhaan Allah, kita segera dapat berhenti dan pusing kembali masuk semula ke jalan yang benar.  Sungguh, pada kalam-kalam Allah dan Rasulnya terdapat kekuatan yang luar biasa buat orang-orang yang beriman, juga kepada orang-orang yang belum beriman.

Allah sayangkan kita semua.  Allah mahukan kita semua masuk ke dalam Syurganya.  Allah maahu berjumpa kita dalam keadaan DIA redha dan kita redha.  Allah alu-alukan taubat kita.  Justeru, bertaubatlah sekarang.  Jangan tangguh lagi.

Semoga Allah memberikan kita semua akan hidayah dan taufiqnya.


Masih dalam bulan syawal. Sambil bermaafan ucapkan juga doa-doa sesama kita semoga kita terampun dosa sesama kita dan mendapat pengampunan Allah serta diterima segala amalan terutamanya dibulan Ramadhan yang telah berlalu.

تقَبلَ اللهُ منا ومنكم
TaqabbalAllahu Minna Waminqum 
"Semoga Allah menerima amalan kami dan amalanmu"

كل عام وأنتم بخير
Qullu Aamin Waantum Bikhoir
"Semoga kamu sentiasa didalam kebaikan setiap masa"


والله أعلم بالصواب والله تعالى أعلىو أعلم

و إلى اللقاء إن شاء الله تعالى

والسلام علبكم و رحمة الله و بركاته

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ
(٢ :سورة المائدة)
Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan permusuhan.(Al-Maidah:2)

كلمتان خفيفتان علي اللسان ثقيلتان في الميزان حبيبتان إلي الرحمن سبحان الله وبحمده سبحان الله العظيم
2 kalimah yang ringan di lidah,berat di atas neraca timbangan
dan disukai oleh Allah Tuhan Yang Maha Pengasih ialah:سبحان الله وبحمده سبحان الله العظيم
SUBHANALLAH WABIHAMDIHI,SUBHANALLAHIL AZEEM
Maha suci Allah dan Segala  Puji Baginya , Mahasuci Allah Yang Maha Agung
(Hadith Riwayat Bukhari & Muslim)

Wednesday, November 2, 2011

Berzikirlah Walau ketika sibuk bekerja....

السلام علبكم و رحمة الله و بركاته
Zikir ialah ibadat paling ringan tetapi amat berat timbangan pahalanya. Walaupun mudah dan ringan diamalkan, kebanyakan muslim lupa melakukannya disebabkan tidak dilatih berbuat demikian.Lihat firman Allah agar kita berzikir mengingatinya dalam apa juga keadaan.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اذْكُرُوا اللَّهَ ذِكْرًا كَثِيرًاHai orang-orang yang beriman, berzikirlah (dengan menyebut nama) Allah, zikir yang sebanyak-banyaknya.Al Ahzab-41
الَّذِينَ يَذْكُرُونَ اللَّهَ قِيَامًا وَقُعُودًا وَعَلَى جُنُوبِهِمْ وَيَتَفَكَّرُونَ فِي خَلْقِ السَّمَاوَاتِ وَالأرْضِ رَبَّنَا مَا خَلَقْتَ هَذَا بَاطِلا سُبْحَانَكَ فَقِنَا عَذَابَ النَّارِorang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): "Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia. Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari siksa neraka.Ali Imran 191
Pengarang kitab Shafwah al-Shafwah menceritakan tentang seorang ahli ibadah melihat seekor burung yang selalu membawa sepotong daging setiap hari. Burung itu hinggap di atas pokok kurma. Ahli ibadah itu merasa hairan kerana tidak ada seekor burungpun yang mempunyai sarang di situ. Beliau berkata: “Saya memanjat pokok itu, saya melihat di sana ada seekor ular yang buta matanya. Setiap kali burung itu mendekatinya iapun bersuara lalu ular itu membuka mulutnya, sang burung meletakkan sepotong daging itu ke mulut ular dan kemudian terbang. Perbuatan itu dilakukannya setiap hari.”

Kisah tersebut mengajar kepada kita bahawa kemuliaan itu terletak pada seberapa besar manfaat yang boleh anda berikan kepada orang lain. Manakala kehinaan itu adalah kerana mensia-siakan potensi dan kekuatan jasmani dan rohani yang telah Allah  kurniakan kepada kita. Sedangkan binatang bekerja mencari makanan tanpa tangan dan kaki yang sempurna. Tetapi manusia masih lagi diulit mimpi angan-angan yang panjang. Binatang dan alam semesta semuanya berzikir kepada Allah SWT, tetapi manusia sibuk melupakan Allah .

Allah berfirman menyeru kepada orang-orang yang mengaku beriman yang maksudnya: ”Bekerjalah kamu, nescaya Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang beriman akan melihat pekerjaanmu itu dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Maha Mengetahui akan yang ghaib dan yang nyata, lalu diberitakannya kepada kamu apa yang telah kamu kerjakan.” (Surah al-Taubah Ayat 105)

Bekerja adalah ibadat. Bahkan nafkah yang dihulurkan kepada ahli keluarga adalah sedekah yang paling utama. Tetapi sifat malas sering timbul sewaktu melakukan jihad ini. Ia sentiasa hadir dalam kehidupan para pekerja yang beriman. Di manakah kelemahannya hingga semangat bertempur untuk mendapatkan keuntungan dunia yang halal itu menjadi kendur? Padahal Rasulullah SAW telah bersabda yang maksudnya: ”Jika datang hari kiamat dan di tangan seorang daripada kamu ada satu bijian tanaman, maka jika dia mampu menanamnya, hendaklah dia melakukannya.” (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Ahmad)

Semangat kerja Nabi Allah Idris AS patut dicontohi. Baginda adalah seorang tukang jahit yang mencari nafkah dengan hasil usaha tangannya sendiri. Pada suatu hari Allah SWT berfirman yang maksudnya: “Wahai Idris, tahukah kamu mengapa Aku mengangkat darjatmu hingga ke tempat yang sangat tinggi? Sebagaimana firman Allah yang bermaksud: “Dan kami mengangkatnya ke kedudukan yang tertinggi.” (Surah Maryam; Ayat 57). Nabi Idris menjawab: “Saya tidak tahu wahai Tuhanku.” Allah berfirman: “Setiap hari amalanmu terangkat ke sisi-Ku seperti setengah amalan penduduk dunia ini kerana kamu banyak berzikir.” Allah berfirman yang maksudnya: “Kepada-Nyalah naik perkataan-perkataan yang baik dan amal yang soleh.” (Surah Fatir: Ayat 10)

Demikianlah keutamaan Nabi Idris AS kerana setiap kali baginda menusukkan jarumnya, pasti kalimah zikrullah yang empat diucapkan iaitu; Subhanallah, Walhamdulillah, Walailahaillallah, wa Allahu Akbar. Pekerjaan yang dilakukan sambil berzikir sungguh berat timbangannya di sisi Allah dan boleh menyuntikkan semangat untuk berjaya semata-mata kerana keredaan Allah.

Zikir adalah amalan yang paling mudah dan ringan tetapi amat berat pahalanya. Imam Ibnu Taimiyah dalam kitab , Majmu’ al-Fatawa menyatakan; Amalan yang paling utama selepas amalan yang fardhu adalah zikrullah. Dalam hadis sahih riwayat al-Imam Ahmad dan al-Tirmizi, Rasulullah bersabda: “Mahukah kamu aku tunjukkan amalan yang paling utama dan yang paling bersih di sisi Allah? Lebih baik daripada kamu bertemu dengan musuh-musuhmu lalu kamu memenggal leher mereka dan mereka juga memenggal leher-lehermu? Para sahabat menjawab: Tentu wahai Rasulullah. Rasulullah bersabda: Zikrullah.”

Demikianlah zikir yang dilakukan. Ia tidak memerlukan wuduk atau menutup aurat. Ia tidak dibatasi oleh waktu dan tempat. Di mana dan bila-bila sahaja dan dalam keadaan apapun ibadat ini boleh dilakukan. Sungguh senang tetapi ramai manusia yang meninggalkannya. Al-Imam Ibnu al-Qayyim menyatakan: “Baginda memberi petunjuk supaya berzikir dalam setiap ucapan, tindakan, tarikan nafas, kala berdiri, duduk dan berbaring, gerak geri baginda adalah zikir kepada Allah.”

Rasulullah SAW adalah seorang manusia yang paling sibuk dengan dunianya dan paling bersedia untuk bekalan akhiratnya. Baginda adalah seorang Ketua Negara yang amanah, Mahaguru yang dihormati, pakar motivasi, Jeneral perang  yang hebat, ketua rumah tangga yang adil, pendakwah yang berkarismatik, ayah yang penyayang, saudara lelaki yang penyantun. Seluruh masa dan tenaga dikerahkan untuk memastikan mereka yang hidup di sisi baginda mendapat kebahagiaan dunia akhirat. Begitu juga dengan kita yang memenuhi hari-hari dengan kerja dan zikrullah, pastikanlah ianya tidak terhenti kecuali kedua kaki ini telah sampai di pintu kenikmatan tertinggi, syurga yang abadi!

والله أعلم بالصواب والله تعالى أعلىو أعلم

و إلى اللقاء إن شاء الله تعالى

والسلام علبكم و رحمة الله و بركاته

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ
(٢ :سورة المائدة)
Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan permusuhan.(Al-Maidah:2)

كلمتان خفيفتان علي اللسان ثقيلتان في الميزان حبيبتان إلي الرحمن سبحان الله وبحمده سبحان الله العظيم
2 kalimah yang ringan di lidah,berat di atas neraca timbangan
dan disukai oleh Allah Tuhan Yang Maha Pengasih ialah:سبحان الله وبحمده سبحان الله العظيم
SUBHANALLAH WABIHAMDIHI,SUBHANALLAHIL AZEEM
Maha suci Allah dan Segala  Puji Baginya , Mahasuci Allah Yang Maha Agung
(Hadith Riwayat Bukhari & Muslim)