Monday, January 2, 2012

Perbaiki Amal Untuk Dekat Dengan Allah...

السلام علبكم و رحمة الله و بركاته
Sahabat yang dirahmati Allah,
Hidup di dunia ini adalah umpama persinggahan tempat rawat dan rehat (R & R). Perhentian sementara untuk membersihkan diri, tidur seketika, solat, qada hajat, makan, minum, isi minyak kenderaan dan memeriksa kenderaan. Destinasi sebenar masih jauh lagi, masih memerlukan komitmen untuk meneruskan perjalanan supaya tidak tergendala di pertengahan jalan. Sekiranya di R & R kita leka dan tidak menggunakan masa yang ada untuk mengemaskan diri dan kenderaan, di khuatiri diperjalanan yang jauh berlaku kemalangan disebabakan mengantuk atau kerosakan dan kehabisan minyak kenderaan. Oleh itu kita perlulah sedar bahawa di dunia yang sementara ini, Allah  telah memberi masa yang cukup untuk kita persiapkan diri dengan amalan-amalan soleh, amal ibadah, jihad dan pengorbanan, menghiasi diri dengan akhlak yang mulia dan  mengutamakan amalan-amalan kerohanian yang tinggi. Untuk melengkapkan diri sebagai hamba Allah yang di redai-Nya maka amalan zahir dan batin perlu berjalan serentak tidak boleh di pisahkan, umpama isi dengan kuku atau malam dengan siang . Diantara satu dengan lain saling lengkap melengkapi. Sekiranya salah satu daripadanya cacat atau tidak berfungsi maka akan berlakulah ketempangan/kelompongan dan tidak berlaku keseimbangan.

Amalan zahir yang utama terletak pada Rukun Islam yang lima iaitu mengucap dua kalimah syahadah (Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah dan aku naik saksi bahawa Nabi Muhammad adalah hamba dan Rasul-Nya), solat fardu lima waktu, puasa di bulan Ramadan, membayar zakat dan mengerjakan fardu haji ke Baitullah (jika ada kemampuan). Amalan zahir yang lain yang dituntut untuk di laksanakan umpama solat sunat, puasa sunat, sedekah, membaca al-Quran, membantu orang Islam lain dari kesusahan , berdakwah dan mengerjakan amar makruf nahi mungkar dan lain-lain lagi. Amalan batin yang dituntut adalah khusyuk dalam solat, ikhlas, bertakwa, bertawakkal, tawaduk, rasa takut (khauf), rasa mengharap (roja'), baik sangka, syukur, sabar dan membina sifat-sifat mahmudah(terpuji) yang terdapat dalam hati.

Berhati-hatilah kita di dalam melaksanakan syariat lahir dan batin, janganlah dicampur adukkan di antara kebaikan dan kemungkaran. Satu masa melakukan ketaatan dan pada masa yang lain melakukan kemungkaran, dosa dan maksiat kepada Allah . Umpamanya melakukan perintah fardu di samping amalan sunat, adakalanya pemurah dan lemah lembut, tetapi dalam masa yang sama kehidupannya masih lagi terlibat dengan riba, mendedahkan  aurat, pergaulan bebas, mengumpat, memfitnah, mencerca, sombong dan cinta dunia.

Imam al-Ghazali ada berkata : "Kalau kamu tidak boleh (belum mampu) bangun untuk solat tahajud malam (amalan sunat), jangan buat dosa (haram) di siang hari. Kerana tidak ada gunanya berbakti kepada Allah di malam hari (tahajud) tetapi derhaka (buat perkara haram) di siang hari."

Sahabat ada menceritakan pada Nabi . peribadi seorang wanita, iaitu pada siang harinya ia berpuasa sunat dan pada malam harinya ia solat tahajud, tetapi ia suka menyakiti hati jirannya, maka Nabi . menyatakan bahawa tempat tinggal wanita itu adalah di neraka! nauzubillah.

Nabi  pernah bersabda maksudnya: "Siapa yang beriman kepada Allah. dan hari kemudian maka janganlah mengganggu jirannya dan berpesan-pesan baiklah kamu terhadap jiran" (Hadis Riwayat Bukhari)

Janganlah kita menjadi seperti seorang yang banyak mengerjakan amalan-amalan lahir tetapi cuai terhadap amalan-amalan batin. Pada zahirnya nampak sempurna, baik, warak, sopan santun, lemah lembut tetapi hatinya penuh hasat dengki, buruk sangka, sombong, bakhil, riak, ujub, cinta dunia, mementingkan diri dan lain-lain lagi. Selain itu ia juga suka menghina dan memandang rendah kepada orang yang kurang ibadah, kerana menyangka dirinya hebat. Dia rasa tenang dan senang dengan ibadahnya dan rasa yakin akan selamat di hari akhirat. Ia menyangka dengan amalannya pasti Allah  akan berinya kedudukan yang mulia di dalam syurga. Oleh itu dalam menilai amalan, biarlah amalan kita sedikit walaupun sekadar buat yang fardu dan sedikit yang sunat sahaja, tetapi di hati tersemat rasa takut pada Allah . dan merasai tawaduk dan ikhlas. Walaupun amalan sunat dan ibadah seseorang nampak hebat, tetapi selagi hatinya tidak zuhud dengan dunia, masih ada riak dan ujub selama itu ibadahnya tidak ada nilai di sisi Allah . dan belum tentu Allah  terima amalan tersebut.

Firman Allah
فَأَمَّا الَّذِينَ آمَنُواْ وَعَمِلُواْ الصَّالِحَاتِ فَيُوَفِّيهِمْ أُجُورَهُمْ وَيَزيدُهُم مِّن فَضْلِهِ وَأَمَّا الَّذِينَ اسْتَنكَفُواْ وَاسْتَكْبَرُواْ فَيُعَذِّبُهُمْ عَذَاباً أَلُيماً وَلاَ يَجِدُونَ لَهُم مِّن دُونِ اللّهِ وَلِيّاً وَلاَ نَصِيراً
 yang bermaksud : "Adapun orang-orang yang beriman dan berbuat amal saleh, maka Allah akan menyempurnakan pahala mereka dan menambah untuk mereka sebagian dari karunia-Nya. Adapun orang-orang yang enggan dan menyombongkan diri, maka Allah akan menyiksa mereka dengan siksaan yang pedih, dan mereka tidak akan memperoleh bagi diri mereka, pelindung dan penolong selain dari pada Allah"
(Surah Al-Nisaa ayat 173).

Rasulullah . bersabda yang bermaksud : " Sesungguhnya yang amat aku takuti sekali di antara segala perkara yang terjadi ke atas kamu ialah syirik kecil." Sahabat bertanya : "Apakah syirik kecil itu?" Baginda SAW. menjawab : "Ialah riak (beramal dengan tidak ikhlas) kerana menunjuk-nunjukkan amalan." Kemudian baginda SAW  menyambung : "Di akhirat kelak, iaitu sewaktu setiap manusia melihat amalannya, Allah SWT .berfirman yang bermaksud : "Pergilah kamu semua kepada sesuatu yang kamu niatkan (menunjuk-nunjukkan ) amalan kamu ketika di dunia. Lihatlah apa yang kamu  boleh perolehi balasan dari mereka itu." (Hadis Riwayat Ahmad dan al-Baihaqi).

Nabi   pernah bersabda maksudnya: "Tidak akan masuk neraka orang yang didalam hatinya ada seberat biji sawi daripada iman dan tidak akan masuk syurga yang didalam hatinya ada seberat biji sawi dari sombong" (Hadis Riwayat Muslim dan Abu Daud)

Akhirkata, pertingkatkanlah amalan kita samaada yang zahir dan batin. Laksanakanlah dengan hati yang ikhlas dan tawaduk, tanpa mengharapkan pujian dan sanjungan manusia, nescaya amalan kalian akan diterima dan diredai oleh Allah  di dunia dan di akhirat.


Masih dalam suasana Aidil Fitri. Sambil bermaafan ucapkan juga doa-doa sesama kita semoga kita terampun dosa sesama kita dan mendapat pengampunan Allah serta diterima segala amalan terutamanya dibulan Ramadhan yang telah berlalu.
تقَبلَ اللهُ منا ومنكم
TaqabbalAllahu Minna Waminqum 
"Semoga Allah menerima amalan kami dan amalanmu"

كل عام وأنتم بخير
Qullu Aamin Waantum Bikhoir
"Semoga kamu sentiasa didalam kebaikan setiap masa"


والله أعلم بالصواب والله تعالى أعلىو أعلم

و إلى اللقاء إن شاء الله تعالى

والسلام علبكم و رحمة الله و بركاته

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ
(٢ :سورة المائدة)
Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan permusuhan.(Al-Maidah:2)

كلمتان خفيفتان علي اللسان ثقيلتان في الميزان حبيبتان إلي الرحمن سبحان الله وبحمده سبحان الله العظيم
2 kalimah yang ringan di lidah,berat di atas neraca timbangan
dan disukai oleh Allah Tuhan Yang Maha Pengasih ialah:سبحان الله وبحمده سبحان الله العظيم
SUBHANALLAH WABIHAMDIHI,SUBHANALLAHIL AZEEM
Maha suci Allah dan Segala  Puji Baginya , Mahasuci Allah Yang Maha Agung
(Hadith Riwayat Bukhari & Muslim)

No comments:

Post a Comment